Clan Kampong

Jadikanlah zaman Remaja Rasullullah S.A.W & Para Sahabat sebagai ikon Remaja kita...! (^_^)

8:54 PM

بسم الله الرحمن الرحيم...

DiStRiBuTed oleh sYaFiQ sAaT

Hormatilah dan sayangilah kedua orang tua kita... (^_^)



Ibu bapa adalah warisan zuriat yang membawa kepada lahirnya kita ke dunia dan sebab itu agama Islam meletakkan ibu bapa di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan.

Hadis berikut jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada ibu bapa.
Hadis tersebut bermaksud:

*Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.* (Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)


Berbuat baik atau taat kepada dua ibu bapa bermaksud menghormati dan melakukan pekerjaan yang disukai mereka dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bersalahan dengan kehendak yang disuruh Allah s.w.t.

Melakukan pekerjaan yang disukai kedua ibu bapa memang menjadi tanggungjawab besar bagi seseorang anak. Besarnya jasa ibu dan ayah memang tidak dapat dinilai sama sekali.

Pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan kesusahan. Ibu dan ayah terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengawasi dan membendung kesihatan anaknya yang masih kecil.

Seorang ibu rela tidak tidur malam demi menjaga anaknya yang masih kecil darpada digigit nyamuk. Ibu dan bapa sanggup perut kosong selagi perut anak yang masih kecil itu masih belum berisi.

Begitulah besarnya pengorbanan ibu dan bapa terhadap anaknya. Jadi tidak hairanlah jika Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa.

Islam mewajibkan anak menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja ketika mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia pun, amalan baik dan penghormatan itu wajib dikekalkan oleh anak-anaknya.

Keadaan ini menjadi lebih jelas apabila kita menyingkap satu kisah pada zaman Rasulullah s.a.w. Kisah itu adalah seperti berikut:

Pada suatu hari sedang Nabi Muhammad berada dalam satu majlis bersama-sama sahabatnya, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan Bani Salamah. Setelah duduk dan meminta maaf, beliau dengan hormatnya memulakan pertanyaan:

*Ya Rasulullah! Apakah aku masih dapat berbuat baik terhadap kedua ibu bapaku yang telah meninggal? Sewaktu hayat keduanya, aku telah berbuat baik kepadanya sedaya upaya yang mungkin. Aku rasa aku telah melakukan perbuatan yang sepatutnya kepada keduanya. Ini pun sudah menjadi kebaikan bagi mereka. Semoga selalulah Allah kurniakan rahmat ke atas keduanya.*

Sahabat-sahabat yang hadir terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu dan mereka ingin mengetahui bagaimana caranya berbuat baik dan menghormati ibu bapa yang sudah meninggal.

Lantas Nabi menjawab: *Ya! Kamu dapat berbuat baik terhadap kedua-duanya iaitu dengan mengerjakan solat (sembahayang) terhadap keduanya di samping meminta ampun kepada Tuhan; melaksanakan wasiat sesudah mereka meninggal dan selalu bersilaturrahim dengan orang-orang yang dilakukannya dahulu dan memuliakan teman-teman keduanya.*

Lelaki yang bertanya itu berterima kasih di atas penjelasan Nabi dan kembali ke rumahnya dengan gembira dan akan terus menghormati serta berbuat baik terhadap orang tuanya yang telah berpulang ke rahmatullah.

Dari kisah di atas, dapatlah dikatakan ibu bapa wajib dihormati, ditaati dan berbuat baik sejak mereka masih hidup hinggalah mereka bersemadi dikuburan.

Gambaran kisah itu menjadi lebih jelas lagi apabila kita meneliti sepotong hadis diriwayatkan Imam Muslim bermaksud:

*Apabila mati seseorang manusia maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanafaat yang ditinggalkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.*

Justeru, marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya ia telah meninggal dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya kerana semuanya itu akan sampai kepada arwah sesuai dengan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Daruquthni yang bermaksud:

*Barang siapa masuk perkuburan lalu membaca 11 kali Surah al-Ikhlas kemudian menghadiahkan pahalanya itu untuk orang mati, maka ia akan diberi pahala sebanyak orang yang mati itu.*

Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:

l Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)

2 Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)

Tuhan tetap memberkati hidup dan kehidupan orang yang menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ayah dan ibunya dan janganlah kita lupa mendoakannya. Dalam hal ini Nabi perlu bersabda yang bermaksud:

*Barangsiapa membuat sukahati ibu bapanya maka sesungguhnya ia telah menyukakan Allah. Dan barang siapa yang membuatkan ibu bapanya marah maka sesungguhnya ia telah membuat Allah murka.* (Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: *Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan bapa.* (Hadis Riwayat: Imam Termizi)

Dari itu hormatilah ibu bapa sepanjang hayat di kandung badan. Lakukanlah perbuatan yang menyenangkan hati mereka semasa mereka masih hidup dan berdoalah kepada mereka setelah mereka meninggal dunia.

Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Insya Allah.


khutbah juma'at n al-azim

0 ketul komen: